Monday 13 September 2010

Mahathir: Melayu Mudah Lupa


Baru-baru ini saya menerima satu komen berbaur perkauman yang amat memualkan. Sempena dengan itu saya ingin memaparkan yang berikut untuk kita renungi bersama. Ia juga amat relevant kepada mereka yang kononnya pejuang bangsa Melayu. Jangan galak berkokok sedang ekor penuh diseliputi tahi.

Dewan Merdeka PWTC tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno itu tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Masing-masing perwakilan yang sebelumnya bersorak-sorai apabila Raja-raja Melayu dihina dan dipermain-mainkan sepanjang tiga hari perhimpunan itu berlangsung mula berasa seram sejuk.

Sepanjang tiga hari, perhimpunan Agung Umno tahun itu berubah menjadi 'sidang penderhakaan' terbesar Melayu terhadap Raja-rajanya. Tidak cukup dengan kata-kata nista dan cemuhan yang dilemparkan terhadap Raja-raja Melayu, media massa pro-Umno juga turut menyiarkan ucapan-ucapan perwakilan dan pemimpin Umno yang mengecam dan mempersendakan Raja-raja.

Matlamatnya satu, mahu perlembagaan dipinda bagi membataskan kuasa dan menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu.

Dato' Zainal Abidin Sakom, wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar waktu itu menjadi wira dalam perhimpunan itu. Beliau tanpa segan silu dan tidak beradab menyerang peribadi Sultan Selangor. Zainal turut menyerahkan senarai salah laku Sultan Selangor kepada Dr Mahathir untuk didedahkan kepada rakyat.

Penderhakaan terbuka Zainal menaikkan semangat para perwakilan Umno. Satu demi satu aib Raja-raja Melayu didedahkan dan keaiban-keaiban ini disiarkan oleh media elektronik pro-Umno secara langsung dan media cetak pro-BN keesokan harinya.

Bagaimanapun cerita tikus dan kucing oleh perwakilan Umno Pulau Pinang itu tiba-tiba mengecutkan perut para perwakilan yang sebelum itu begitu biadap dan celupar menghina istana.

Tiada seorang pun perwakilan Umno yang berani menyahut cabaran perwakilan Umno itu sehinggalah ucapan penangguhan Presiden.

Dan ketika memberikan ucapan penangguhannya Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad (Dato' Seri) dengan beraninya berkata: "Ada perwakilan yang bertanya siapa tikus yang berani menggantung loceng di leher kucing... Jawapannya kamilah... Kami yang berada di atas pentas ini (Ahli Majlis Tertinggi Umno)."

Maka bersorak-sorai para perwakilan Umno meraikan keberanian Dr Mahathir itu. Hasilnya satu Resolusi 4 Perkara telah diluluskan Perhimpunan Agung Umno untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.