Tuesday, 4 August 2009

Aku Melayu, Kemelayuan Aku Diperkuda?

Aku terpanggil untuk menceritakan pengalaman sebagai orang Melayu. Sesuai dengan komen yang ditinggalkan oleh seorang pembaca di posting aku sebelum ini. Aku pun keliru samada aku patut bangga atau malu jadi Melayu.

Keluar dari universiti aku bekerja sebagai engineer muda di sebuah syarikat pembinaan. Syarikat ni 100% milik orang Cina. Awal tahun 90an, masa tu memang susah nak dapat kerja. Mujur syarikat ni tawarkan aku bekerja, project upgrading hotel di Johor Baharu. Masa tu project-project syarikat ni semua dari pemaju swasta. Antaranya, pembinaan Empire Tower di Jalan Ampang, Pheonik Plaza di Cheras, Perumahan di Bukit Tunku dan Condominium di Jalan Alor K Lumpur.

Gaji kecil, dengan outstation allowance dapat RM 1,600.00 masa tu. Rumah di Johor Baru disediakan, sebuah banglo 6 bilik, duduk dengan 9 orang staff lain. 7 Cina, 2 India dan aku sorang Melayu. India 2 orang tu duduk satu bilik, satu bilik untuk Project Manager ( Cina ), aku duduk satu bilik sorang-sorang, dan selebihnya staff Cina duduk kongsi 2 orang satu bilik. Di rumah tu aku yang paling junior. Tiap pagi aku keluar rumah ke tempat kerja dengan kereta Project Manager. Sarapan di kedai mamak dalam perjalanan. Makan tengah hari aku suka makan sorang-sorang, sambil tengok awek di shopping complex berdekatan. Kalau keluar malam ramai-ramai mesti makan di kedai halal sebelum duduk sampai pukul 2 pagi di karaoke. Balik aku yang pandu kereta pasal time tu ramai yang dah mabuk. ' Bagus bawak kamu ke karaoke, balik ada tukang bawak kereta, tak gaduh kena saman' Kemelayuan aku diperkudakan?

Client representative masu tu ada 5 orang. Seorang Project Manager, seorang engineer dan 3 orang clerk of work ( C.O.W), semua Melayu. Di orang kerja 8.00pg sampai 5.00ptg, 5 hari seminggu. Kalau ada aktiviti diluar masa tu kena buat permohonan dan bayar diorang overtime. Biasanya pre-casting inspection dibuat lepas 4.00ptg. Alasannya panas. Kalau inspection passed, concrete casting berlarutan sampai lewat pagi. Kerja-kerja ni akan diawasi oleh seorang staff kami dan 2 C.O.W. Kesempatan ni jugak diambil oleh client representative yang lain untuk ke karaoke dengan seorang dua staff kami yang lain. Esok awal-awal pagi kelima-lima orang client representative ni akan jumpa aku mintak sign 'overtime' yang mereka lakukan malam tadi. 'Nasib baik yang tukang sign overtime kami engineer Melayu, kalau tidak banyak soal jawab dari syarikat kamu nanti' Kemelayuaan aku diperkudakan?

Lepas 6 bulan aku dinaikkan jadi engineer penuh, tambah gaji RM 800.00. Bawah aku di bawa masuk seorang supervisor yang dah 4 tahun bekerja di syarikat tu. Kelulusannya certificate dari Kolej Tunku Abdul Rahman. Leceh jugak aku kena kongsi bilik dengan cina ni. Tapi time tidur, dia kerap tidur depan TV di ruang tamu, katanya dia tak suka air-cond. Mungkin jugak pasal aku berdengkur kuat bila tidur.

15 bulan lepas tu kerja tu siap. Semua kami di bawa balik ke Kuala Lumpur bekerja di tapak binaan yang berlainan. 5 orang client representative tu semua bekerja secara contract. Siap project, contract pun tamat. Ada seorang dua dari mereka minta kerja tetap di syarikat aku bekerja, tapi tak ada yang dapat. Aku tolong ambilkan borang dari HQ untuk diisi.

Dengan pengalaman lebih 2 tahun bekerja syarikat berkenaan aku kemudiaannya dilantik sebagai Site Agent untuk satu project yang sederhana saiznya. Aku terus bekerja di syarikat tersebut sehingga salah seorang directornya buka syarikat lain. Aku bersama Project Manager aku di Johor Baru dulu di pelawa menyertai syarikat tersebut. Syarikat bukan Melayu lagi!

Nanti lepas ni aku cerita aku kerja di syarikat bukan Melayu jugak, tapi syarikat kroni.

Monday, 3 August 2009

Demo Anti - ISA 1 Ogos 2009


Sedih aku tidak berada di situ. Sedih aku terlepas peluang bersama rakyat yang perihatin menyatakan pandangan terhadap akta ISA yang maha zalim.

Di kejauhan ini aku cuma mampu mengikuti peristiwa bersejarah itu menerusi alam cyber. Sebelum ini aku dengan bangga boleh mendabik dada kepada anak-anak bahawa aku turut serta dalam Demo Reformasi di KESAS Highway. Gambar aku masuk muka depan Harakah semasa demo itu. Demo BERSIH, anak aku bergitu bangga dengan kesan bau air yang disembur FRU pada baju warna kuning yang aku bawa balik dari demo bersejarah itu. Demo ISA ini lebih besar maknanya. Sayang, aku ketinggalan dari menyertainya.

Anak aku yang berusia 15 tahun terkilan aku tidak serta dalam demo tersebut untuk membawanya bersama. Dia teruja membaca berita Suhaib Mat Shah, 16, dilokap sehari semalam pemperjuangkan penentangan akta yang memenjarakan ayahnya. Kami bangga dengan keberaniaan rakyat Malaysia samaada Sivarasa, Dr Hatta Ramli, Beng Teong, Ragunathan, Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang berdepan gorombolan polis diketuai City police chief Deputy Comm Datuk Wira Mohd Sabtu Osman.

Di internet aku cuma dapat menonton dan membaca keberaniaan rakyat Malaysia menentang kekejaman regim BN mempertahankan ISA. Sebelum dari itu aku membaca bagaimana media arus perdana menjadi pelacur memainkan isu perkauman dan meniupkan api permusuhan dan pergaduhan. Tetapi semuanya berjalan lancar kecuali provoksi yang ditimbulkan polis. Anggota keselamatan ini nanti pasti menyesal dikutuk anak-anak generasi akan datang akan melihat jijiknya akta ISA yang dipertahankan.

Aku tahu rakyat yang disimbah dengan air beracun dan ditembak gas pemedih mata puas dengan apa yang berlaku hari itu. Satu negara dan satu dunia menjadi saksi kejayaan perjuangan mereka.


Untuk tatapan semua dicatatkan kejayaan besar akta zalim ISA

1. Mengasi teloq pemimpin pengecut seperti Zahid Hamidi, Ibrahim Ali dan Tajuddin Rahman. Pemimpin-pemimpin ni jadi tukang angguk dan tukang kokok.

2. Tempat Pak Lah menyorokkan pengganas sebenar yang dikatakan bersekongkol dengan anaknya.

3. Akta yang menunjukkan Dr Mahathir pemimpin pengecut yang tunduk dan takut kepada George Bush dengan menangkap dan memenjarakan siapa sahaja yang dihakimi 'pengganas' oleh Amerika.

Pun begitu ada si bangang yang menyebut, 'apa susah-susah nak hapuskan ISA? Kalau tak buat salah apa nak takut akta apa pun.'

'Sibodoh ooi, akta ni tangkap orang tak salah, pasal akta ISA ni boleh penjarakan orang tanpa perlu buktikan orang tu bersalah'

Saturday, 11 April 2009

PM Malaysia Keenam - Beri Najib Peluang?

'Najib memiliki apa yang tidak ada pada Abdullah, iaitu rekod peribadi yang buruk pada mata rakyat. Abdullah sebaliknya memiliki jolokan ‘Mr. Clean’ yang sebenarnya menderaukan darah rakyat bila kelemahannya terbongkar di puncak Putrajaya.

Oleh yang demikian, tidak pelik jika Najib bertindak buruk pada rakyat tetapi amat pelik dan memukau jika Najib melakukan benda yang baik-baik. Itulah keuntungan Najib kerana imej yang berkarat
'

Meneliti komen sokongan Kickdefella, seperti petikan di atas membuat saya menilai kembali samaada Najib wajar diberi peluang. Najib Ada kelayakan sebagai pentadbir yang berkebolehan. CVnya begitu menarik. Di permulaan kerjayanya di dalam kabinet Malaysia, dia cemerlang. Kalau saya tidak silap, khidmatnya turut cemerlang sebagai Menteri Besar Pahang di awal kerjaya politiknya dulu. Dia layak membawa perubahan yang di sebut-sebut.

Selain dari itu apa pilihan yang rakyat Malaysia ada? Merubah kerajaan? Secara logiknya saya berpendapat ini cuma akan berlaku sekiranya proses pendemokrasian Malaysia yang lebih baik berlaku. Kalau pun Pakatan mahu membawa perubahan, Pakatan kena menang pilihanraya. Sekurang-kurangnya 2 tahun lagi.Kenapa bazirkan masa tersebut. Baik kita gunakan untuk menangani krisis ekonomi yang sedang membungkam negara.

Najib berpeluang mengubah ke arah Malaysia yang lebih baik sekiranya dia ada iltizam yang kuat. Dia mampu melakukannya sekiranya dia tidak terus bergayut kepada sokongan UMNO yang telah semakin reput. Najib seharusnya percaya bahawa dia akan mendapat sokongan rakyat sekiranya dia mampu membawa perubahan. Akan berbondong-bondong rakyat jelata menyokongnya sekiranya dia bertindak di luar kongkongan UMNO. Majoriti rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat akan menyokong Najib kalau Najib membuat perkara yang betul. Najib tidak perlu kekal dengan perjuangan UMNO yang memperjuangkan ketuanan UMNO bertopengkan ketuanan Melayu. Kedaulatan Rakyat yang perlu diperjuangkan Najib kalau dia mahu terus berkuasa.

Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya oleh Najib untuk merombak sistem dan institusi yang menjauhkan sokongan rakyat dari kerajaan selama ini. Suruhanjaya Pilihanraya, Polis DiRaja Malaysia, Institusi Kehakiman, Undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Dasar Pendidikan, Dasar Bahasa, Penswastaan yang membebankan Rakyat, Kemudahan Pengangkutan Awam, Perumahan, Pemilikan Tanah dan lain-lain adalah senarai panjang yang merupakan peluang untuk Najib meraih sokongan.

Saya yakin segala masalah berkaitan moral dan diri Najib yang mengisi baggage besar yang dibawanya ke Putrajaya akan dilupakan kalau benar perubahan di atas menjadi keutamaan pimpinan dan pentadbiran Najib. Di sana nanti rakyat Malaysia akan mempertahankan Najib dari cemuhan media antarabangsa. Malah, sekali pun kerajaan Monggolia membawa kes yang melibatkan Najib ke Mahkamah Antarabangsa, dan Najib kalah di sana, Najib tetap menang di hati rakyat.

Cumanya secara jujur saya tertanya-tanya benarkah Najib mahu membawa perubahan untuk kekal berkuasa? Sehingga hari ini, setelah 9 hari menjadi Perdana Menteri, saya tidak melihat Najib mahu kekal berkuasa dengan cara begitu. Kempen pilihanraya BN yang Najib sebagai Perdana Menteri, di Bukit Gantang dan Bukit Selambau tidak menunjukkan sebarang pertanda Najib berazam keluar dari celah kangkang UMNO. Barisan kabinet yang memualkan menunjukkan Najib masih mahu berpaut di UMNO yang sedang mereput. Lebih dari itu Najib seperti budak hingusan yang ketagih bau hapak ketiak Mahathir dalam menyenaraikan kabinetnya. Mahathir dulu telah ditolak rakyat. Semasa zaman Mahathir bermula gerakan reformasi yang menuntut perubahan yang sehingga hari ini masih terus menghantui kerjaan BN. Lihat betapa pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menolak Mahathir mentah-mentah.Ini di sebut pimpinan BN sendiri.

'Mahathir rejoining UMNO and making a last minute appearance in Bukit Gantang and Bukit Selambau do not have any significant impact on voter’s support on BN'


Kenapa perlu Najib bergantung kepada sokong yang membawa rebah.

Untuk membuat perubahan, Najib mempunyai peluang yang besar. Semua jentera dan kemudahan bersama beliau. Keputusan untuk berubah atau tidak ada ditangannya. Najib ada masa yang cukup. Penilaian rakyat akan hanya berlaku tiga tahun lagi. Tetapi sekiranya Najib kekal tidak mahu berubah, tunggulah bila rakyat menggunakan kertas undi menyingkir Najib. Namun, saya lebih khuatir sekiranya rakyat tidak sanggup menunggu saat itu sebaliknya merentap Najib turun dari Putrajaya dengan cara yang lebih hina. Saya khuatir kerana kalau itu berlaku harganya ialah kesejahteraan negara tercinta ini.