'Najib memiliki apa yang tidak ada pada Abdullah, iaitu rekod peribadi yang buruk pada mata rakyat. Abdullah sebaliknya memiliki jolokan ‘Mr. Clean’ yang sebenarnya menderaukan darah rakyat bila kelemahannya terbongkar di puncak Putrajaya.
Oleh yang demikian, tidak pelik jika Najib bertindak buruk pada rakyat tetapi amat pelik dan memukau jika Najib melakukan benda yang baik-baik. Itulah keuntungan Najib kerana imej yang berkarat'
Meneliti komen sokongan Kickdefella, seperti petikan di atas membuat saya menilai kembali samaada Najib wajar diberi peluang. Najib Ada kelayakan sebagai pentadbir yang berkebolehan. CVnya begitu menarik. Di permulaan kerjayanya di dalam kabinet Malaysia, dia cemerlang. Kalau saya tidak silap, khidmatnya turut cemerlang sebagai Menteri Besar Pahang di awal kerjaya politiknya dulu. Dia layak membawa perubahan yang di sebut-sebut.
Selain dari itu apa pilihan yang rakyat Malaysia ada? Merubah kerajaan? Secara logiknya saya berpendapat ini cuma akan berlaku sekiranya proses pendemokrasian Malaysia yang lebih baik berlaku. Kalau pun Pakatan mahu membawa perubahan, Pakatan kena menang pilihanraya. Sekurang-kurangnya 2 tahun lagi.Kenapa bazirkan masa tersebut. Baik kita gunakan untuk menangani krisis ekonomi yang sedang membungkam negara.
Najib berpeluang mengubah ke arah Malaysia yang lebih baik sekiranya dia ada iltizam yang kuat. Dia mampu melakukannya sekiranya dia tidak terus bergayut kepada sokongan UMNO yang telah semakin reput. Najib seharusnya percaya bahawa dia akan mendapat sokongan rakyat sekiranya dia mampu membawa perubahan. Akan berbondong-bondong rakyat jelata menyokongnya sekiranya dia bertindak di luar kongkongan UMNO. Majoriti rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat akan menyokong Najib kalau Najib membuat perkara yang betul. Najib tidak perlu kekal dengan perjuangan UMNO yang memperjuangkan ketuanan UMNO bertopengkan ketuanan Melayu. Kedaulatan Rakyat yang perlu diperjuangkan Najib kalau dia mahu terus berkuasa.
Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya oleh Najib untuk merombak sistem dan institusi yang menjauhkan sokongan rakyat dari kerajaan selama ini. Suruhanjaya Pilihanraya, Polis DiRaja Malaysia, Institusi Kehakiman, Undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Dasar Pendidikan, Dasar Bahasa, Penswastaan yang membebankan Rakyat, Kemudahan Pengangkutan Awam, Perumahan, Pemilikan Tanah dan lain-lain adalah senarai panjang yang merupakan peluang untuk Najib meraih sokongan.
Saya yakin segala masalah berkaitan moral dan diri Najib yang mengisi baggage besar yang dibawanya ke Putrajaya akan dilupakan kalau benar perubahan di atas menjadi keutamaan pimpinan dan pentadbiran Najib. Di sana nanti rakyat Malaysia akan mempertahankan Najib dari cemuhan media antarabangsa. Malah, sekali pun kerajaan Monggolia membawa kes yang melibatkan Najib ke Mahkamah Antarabangsa, dan Najib kalah di sana, Najib tetap menang di hati rakyat.
Cumanya secara jujur saya tertanya-tanya benarkah Najib mahu membawa perubahan untuk kekal berkuasa? Sehingga hari ini, setelah 9 hari menjadi Perdana Menteri, saya tidak melihat Najib mahu kekal berkuasa dengan cara begitu. Kempen pilihanraya BN yang Najib sebagai Perdana Menteri, di Bukit Gantang dan Bukit Selambau tidak menunjukkan sebarang pertanda Najib berazam keluar dari celah kangkang UMNO. Barisan kabinet yang memualkan menunjukkan Najib masih mahu berpaut di UMNO yang sedang mereput. Lebih dari itu Najib seperti budak hingusan yang ketagih bau hapak ketiak Mahathir dalam menyenaraikan kabinetnya. Mahathir dulu telah ditolak rakyat. Semasa zaman Mahathir bermula gerakan reformasi yang menuntut perubahan yang sehingga hari ini masih terus menghantui kerjaan BN. Lihat betapa pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menolak Mahathir mentah-mentah.Ini di sebut pimpinan BN sendiri.
'Mahathir rejoining UMNO and making a last minute appearance in Bukit Gantang and Bukit Selambau do not have any significant impact on voter’s support on BN'
Kenapa perlu Najib bergantung kepada sokong yang membawa rebah.
Untuk membuat perubahan, Najib mempunyai peluang yang besar. Semua jentera dan kemudahan bersama beliau. Keputusan untuk berubah atau tidak ada ditangannya. Najib ada masa yang cukup. Penilaian rakyat akan hanya berlaku tiga tahun lagi. Tetapi sekiranya Najib kekal tidak mahu berubah, tunggulah bila rakyat menggunakan kertas undi menyingkir Najib. Namun, saya lebih khuatir sekiranya rakyat tidak sanggup menunggu saat itu sebaliknya merentap Najib turun dari Putrajaya dengan cara yang lebih hina. Saya khuatir kerana kalau itu berlaku harganya ialah kesejahteraan negara tercinta ini.
Saturday, 11 April 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)